Memperkasa Pembelajaran Holistik Melalui Gotong-Royong: Transformasi Sahsiah Dan Hubungan Interagama Di Masjid Dato' Sheikh Mohd Murtadza

Authors

  • Nor Hasanah Mohd Yusoff
  • Suhaimi Samad

Abstract

Abstract: Program gotong-royong di Masjid Taman Politeknik merupakan satu inisiatif kolaboratif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran sivik dan memupuk nilai murni dalam kalangan pelajar politeknik, termasuk pelajar Muslim dan bukan Muslim. Program ini dirangka bagi menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman yang dapat membentuk keperibadian serta memantapkan hubungan sosial antara peserta yang terdiri daripada latar belakang agama dan budaya yang berbeza. Kajian ini menggunakan pendekatan Pembelajaran Berasaskan Aksi (Action-Based Learning) yang menitikberatkan pengalaman langsung dalam memahami nilai gotong-royong dan tanggungjawab sosial. Dengan menggunakan kaedah pemerhatian, dan soal selidik, kajian ini mengkaji impak program terhadap pembangunan sahsiah pelajar, pengukuhan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta aspek kefahaman silang budaya dan keagamaan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penyertaan aktif dalam program gotong-royong ini bukan sahaja memperkukuh nilai kerjasama dan toleransi dalam kalangan peserta, tetapi juga mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih inklusif dan bersepadu. Interaksi langsung antara pelajar Muslim dan bukan Muslim di dalam aktiviti ini membantu mengurangkan stereotaip dan salah faham berkaitan agama dan budaya. Ini juga memberi kesan positif kepada penghayatan nilai-nilai murni yang penting dalam membentuk masyarakat harmoni dan progresif. Hasil kajian ini memberikan implikasi penting kepada institusi TVET dalam memperkasa pendidikan holistik yang merangkumi aspek akademik, sosial dan moral. Penerapan aktiviti luar bilik darjah seperti gotong-royong perlu diperluaskan sebagai sebahagian daripada pendekatan pembelajaran bersepadu untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar serta membentuk mereka menjadi individu yang lebih bertanggungjawab, prihatin dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan dan masyarakat yang semakin kompleks.
Keywords:  Pembelajaran Berasaskan Aksi, Hubungan Antara Agama, Pembangunan Sahsiah, Kemahiran Insaniah, Toleransi, Pendidikan Holistik.

Downloads

Published

2025-10-18