Inovasi Hijau dalam Industri Makanan: Biskut Daripada Kulit Buah Naga Sebagai Snek Alternatif

Authors

  • Sharifah Norakhil Binti Syed Loed

Abstract

Dalam era pemodenan industri makanan yang menuntut kelestarian dan inovasi hijau, pengurusan sisa pertanian menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani secara holistik. Kulit buah naga (Hylocereus spp.), yang lazimnya dibuang selepas pengambilan isi, dikenal pasti memiliki potensi sebagai sumber bahan mentah alternatif yang bernilai tinggi. Kajian ini dijalankan bagi membangunkan formulasi biskut sihat berasaskan serbuk kulit buah naga, yang bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa makanan, malah memperkenalkan pilihan snek berkhasiat yang mesra alam. Kajian ini melibatkan proses pengeringan dan penukaran kulit buah naga kepada serbuk, diikuti dengan pembangunan prototaip biskut. Penilaian analisis sensori penerimaan pengguna telah dijalankan terhadap produk akhir yang melibatkan 30 orang responden. Terdapat kajian menunjukkan bahawa serbuk kulit buah naga mengandungi kandungan serat makanan dan sebatian bioaktif seperti betasianin dan antosianin yang tinggi. Dari aspek penerimaan pengguna, biskut yang dihasilkan mendapat maklumbalas positif khususnya pada parameter warna, tekstur dan rasa. Hasil analisis menunjukkan bahawa formulasi 5% (Sampel A1) mendapat markah tertinggi dalam semua atribut yang diuji. Ini menunjukkan bahawa penambahan kulit buah naga pada kadar rendah (5%) mampu memberi nilai tambah dari aspek kesihatan dan sensori tanpa menjejaskan rasa atau penerimaan pengguna. Kajian ini membuktikan bahawa integrasi bahan buangan pertanian dalam pembangunan produk makanan mampu mewujudkan nilai tambah melalui pendekatan inovasi hijau, sekaligus menyumbang kepada kemampanan industri makanan negara.

Keywords: Inovasi hijau, kulit buah naga, biskut sihat, sisa pertanian, makanan lestari

Downloads

Published

2025-10-18