Pengaruh Kecerdasan Buatan (AI) Dalam Pendidikan: Kajian Tinjauan Di Kalangan Pelajar Baru POLISAS

Authors

  • Norazlina Abdul Rahman
  • Zalinawati Muhamad
  • Rospi Mat Husin

Abstract

Abstrak: Kecerdasan Buatan (AI) semakin mendapat perhatian dalam dunia pendidikan sebagai alat untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran. Kajian ini bertujuan untuk menilai tahap pengetahuan, penerimaan, kesediaan dan kesedaran pelajar terhadap manfaat dan potensi keburukan AI dalam konteks pendidikan. Kajian tinjauan ini melibatkan seramai 395 pelajar baru Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) yang dipilih melalui persampelan mudah. Data dikumpulkan menggunakan soal selidik dan dianalisis menggunakan perisian SPSS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa 62% pelajar mempunyai kesedaran awal kewujudan teknologi AI, namun hanya 54.5% yang memahami konsepnya. Dari segi penggunaan, Google Assistant (66.1%) dan Microsoft Office 365 (49.4%) merupakan aplikasi AI yang paling kerap digunakan oleh pelajar. Dari segi penerimaan, pelajar memberikan maklum balas positif terhadap keberkesanan AI dalam pembelajaran (min = 1.51), manakala dari sudut kesediaan, 70.9% pelajar menyatakan perlunya kursus dan latihan khusus dalam AI. Dari aspek kesedaran terhadap potensi risiko, 88.4% pelajar percaya AI boleh mengurangkan kemahiran menyelesaikan masalah, dan 92.9% menyedari bahawa AI boleh memberikan maklumat yang tidak tepat, menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi terhadap keburukan AI. Kajian ini mencadangkan agar institusi pendidikan teknik khususnya POLISAS memperkenalkan latihan berstruktur, pendedahan praktikal dan garis panduan etika penggunaan AI bagi memastikan pelajar dapat memanfaatkan teknologi ini secara berkesan, bertanggungjawab dan seimbang dalam proses pembelajaran.
Kata kunci: Kecerdasan Buatan, Pengaruh AI, Penerimaan AI

Downloads

Published

2025-10-18