Perkahwinan Bawah Umur Tanpa Kebenaran Mahkamah Syariah: Kajian Perbandingan Terhadap Faktor Penyebab Di Kelantan Dan Selangor
Abstract
Abstract: Memiliki pasangan hidup adalah fitrah manusia yang bertujuan mencapai kebahagiaan. Islam menetapkan perkahwinan sebagai satu-satunya cara sah bagi hubungan antara lelaki dan wanita. Berdasarkan Undang-Undang Keluarga Islam di negeri-negeri, perkahwinan bawah umur hanya dibenarkan selepas mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah dan mestilah memelihara kepentingan kanak-kanak terlibat. Namun demikian, perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran mahkamah masih berlaku dan situasi ini jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang negeri. Kajian ini dilakukan untuk mengenalpasti faktor-faktor penyebab perkahwinan bawah umur tanpa kebenaran dengan penumpuan kepada perbandingan di negeri Kelantan dan Selangor. Kajian ini adalah kajian kualitatif. Data diperoleh melalui temu bual dan analisis bahan daripada perpustakaan dan internet. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor penyebab adalah sama di kedua-dua negeri namun wujud perbezaan dari segi dominasi. Faktor desakan sosial akibat kemiskinan dan anak perempuan tidak bersekolah dikesan lebih dominan di kawasan pedalaman di Kelantan di mana perkahwinan dianggap sebagai jalan keluar untuk meringankan beban kewangan keluarga. Sebaliknya, faktor kehamilan luar nikah dikesan faktor dominan di Selangor yang berpunca daripada pergaulan bebas dan pengaruh media sosial yang mendorong keluarga memilih berkahwin tanpa melalui saluran undang-undang.Di samping itu terdapat juga faktor yang sama ketara yang menyumbang kepada fenomena ini di kedua-dua negeri iaitu kelemahan dari aspek penguatkuasaan undang-undang syariah. Ketidakcekapan dalam pemantauan dan pelaksanaan undang-undang oleh pihak berkuasa berkaitan telah membuka ruang kepada perkahwinan yang berlaku tanpa prosedur Mahkamah Syariah. Justeru itu, usaha segera perlu dilakukan melalui program yang boleh meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keperluan mematuhi perundangan berkaitan perkahwinan bawah umur bagi menjaga kepentingan pasangan bawah umur.
Keywords: Faktor Penyebab, Perkahwinan Bawah Umur, Maqasid Syariah
Downloads
Published
Issue
Section
License
Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan
POLIMAS