Kajian Tempat Letak Kereta Di Klinik Kesihatan Indera Mahkota, Kuantan

Authors

  • Tee Lian Yong
  • Adilen @ Lucia Binti Suil

Abstract

Pertambahan populasi penduduk dan pemilikan kenderaan yang semakin meningkat di Malaysia telah mengakibatkan masalah kekurangan tempat letak kereta di kawasan bandar. Masalah kekurangan tempat letak kereta boleh menyebabkan berlakunya parkir secara haram, pembaziran masa untuk mendapatkan ruang parkir dan sebagainya. Berdasarkan tinjauan awal, masalah kekurangan tempat letak kereta didapati berlaku di Klinik Kesihatan Indera Mahkota. Terdapat dua objektif kajian iaitu mengenalpasti penawaran dan permintaan tempat letak kereta serta mengenalpasti tahap penggunaan tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Indera Mahkota. Dalam kajian ini, kaedah In-Out digunakan untuk mengukur kadar penggunaan tempat letak kereta manakala kaedah Plat Lesen digunakan untuk mengukur jangka masa letak kereta, perolehan tempat letak kereta dan kadar muatan letak kereta. Selain itu, pengutipan data dilaksanakan selama lima hari bekerja iaitu hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang. Secara keseluruhannya, terdapat 100 tempat letak kereta termasuk 3 tempat letak kereta bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) di Klinik Kesihatan Indera Mahkota. Jumlah kereta yang masuk ke dalam tempat letak kereta Klinik Kesihatan Indera Mahkota didapati mencapai tahap maksimum di antara pukul 8.30 pagi sehingga 9.30 pagi. Hasil kajian mendapati jumlah kereta yang diparkir pada hari Selasa adalah paling tinggi iaitu sebanyak 360 buah kereta dengan purata jangka masa letak kereta sebanyak 115 minit. Sementara itu, hari Rabu mencatatkan perolehan tempat letak kereta dan kadar muatan letak kereta yang paling tinggi. Secara kesimpulannya, terdapat keperluan untuk penambahan tempat letak kereta di Klinik Kesihatan Indera Mahkota demi mengatasi masalah berlakunya illegal parking, double parking dan sebagainya.

Kata kunci: tempat letak kereta, kaedah In-Out, kaedah Plat Lesen

Downloads

Published

2025-10-18