Keberkesanan Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning - WBL) Dalam Meningkatkan Kebolehpasaran Graduan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Authors

  • Nor Hazlin Binti Md Gharip
  • Norliana Binti Sarpin
  • Alimi Bin Yasinan
  • Ainul Haezah Binti Noruzaman
  • Jamilah Binti Abbas

Abstract

Kajian ini bertujuan menilai keberkesanan Program Pembelajaran Berasaskan Kerja (Work-Based Learning - WBL) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui pembangunan kemahiran teknikal dan insaniah. Menggunakan pendekatan kuantitatif, soal selidik skala Likert 5-mata telah diedarkan kepada 63 responden graduan yang pernah menyertai program ini. Data dianalisis secara deskriptif untuk melihat taburan min dan analisis korelasi bagi menentukan hubungan antara pemboleh ubah kajian. Dapatan menunjukkan keberkesanan program secara keseluruhan adalah sangat tinggi dengan skor min melebihi 4.00 bagi setiap aspek. Pembangunan kemahiran insaniah mencatatkan skor tertinggi (min=4.55), diikuti oleh kualiti penyeliaan (min=4.48), pembangunan kemahiran teknikal (min=4.45), dan persekitaran pembelajaran (min=4.45). Walau bagaimanapun, aspek penggunaan perisian industri (min=4.25) dan kesesuaian pekerjaan dengan bidang pengajian (min=4.14) mencatatkan skor yang lebih rendah, menunjukkan wujudnya jurang dalam aplikasi teknologi terkini serta pemadanan kerjaya. Hasil kajian membuktikan WBL memberi impak positif yang signifikan terhadap kesediaan kerja dan keyakinan graduan dalam melaksanakan tanggungjawab profesional. Kajian ini mencadangkan penstrukturan semula beban kerja akademik agar pelajar dapat fokus sepenuhnya kepada industri, penetapan elaun sara hidup yang munasabah, serta pemantauan sistematik bagi memastikan kualiti bimbingan yang konsisten. Implikasi kajian ini dapat membantu pihak pengurusan politeknik dan rakan industri memperkukuhkan kolaborasi bagi menghasilkan graduan yang kompeten serta memenuhi standard pasaran kerja semasa.

 

 

Key words: Work-Based Learning (WBL), Kebolehpasaran Graduan, Kemahiran Teknikal, Kemahiran Insaniah, Politeknik

Downloads

Published

2026-04-30

Issue

Section

Engineering (Civil, Electrical,Mechanical)