Reka Bentuk Pen 3D untuk Filamen Kitar Semula

Authors

  • Mohd Hairol Mizzam Bin Haris
  • Muhammad Anas Muzammel Bin Muhamad Khairul Azhar
  • Syaiful Nizam bin Ab Rahim

Abstract

Inovasi ini memfokuskan kepada mereka bentuk dan membangunkan sebuah pen 3D yang inovatif dengan menggunakan filamen yang dihasilkan daripada sisa botol plastik. Pen 3D merupakan alat kreatif yang membolehkan pengguna menghasilkan objek tiga dimensi melalui proses pencairan dan penyemperitan filamen plastik. Penggunaannya memberikan kebebasan artistik yang tinggi, membolehkan idea dan imaginasi divisualkan dalam bentuk fizikal secara interaktif. Namun begitu, berbeza daripada pen 3D komersial yang menggunakan filamen konvensional, inovasi ini menekankan aspek kelestarian melalui penghasilan filamen kitar semula sebagai langkah mengurangkan sisa plastik dan menambah nilai ekonomi kepada bahan buangan. Rekaan pen 3D dalam projek ini akan diubah suai bagi memastikan ia sesuai dengan ciri filamen yang dihasilkan terus daripada botol plastik. Bahagian badan pen akan direka bentuk semula dengan mengambil kira aspek ergonomik agar lebih selesa digunakan berbanding model pasaran sedia ada. Proses penghasilan badan pen akan menggunakan teknologi pencetakan 3D yang tersedia di makmal, sekali gus memudahkan proses prototaip dan penambahbaikan. Filamen turut dibangunkan dalam projek ini bagi menyokong keseluruhan sistem, namun tumpuan utama diberikan kepada mekanisme dalaman pen, termasuk komponen pemanasan, penyemperitan, dan pengawalan kelajuan. Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa pen ini hanya memerlukan masa sekitar 5 minit untuk mencapai suhu operasi sebelum digunakan. Dengan reka bentuk mesra pengguna, inovasi ini berpotensi menarik minat pelajar, kanak-kanak dan remaja, selain membuka peluang baharu dalam bidang pendidikan, seni dan keusahawanan berasaskan kitar semula.

 

Kata kunci :  Pen 3D Kitar Semula, Filamen Botol Plastik, Reka Bentuk Ergonomik

Downloads

Published

2025-12-10

Issue

Section

Engineering (Civil, Electrical,Mechanical)