Menguji Kebolehfungsian Mesin Mudah Alih Perangkap Lalat (Portable Fly Trap)
Abstract
Inovasi ini dilaksanakan hasil daripada pengalaman penyelidik yang sering berhadapan dengan gangguan lalat ketika menikmati makanan di warung berhampiran kediaman. Masalah tersebut bukan sahaja menjejaskan keselesaan, malah memberi implikasi kepada aspek kebersihan dan kesihatan. Justeru, tercetuslah idea untuk mereka bentuk sebuah alat perangkap lalat yang bersifat mudah alih, mesra pengguna, dan tidak mengganggu aktiviti makan. Objektif utama projek adalah mereka bentuk perangkap lalat mudah alih berkuasa solar serta menguji kebolehfungsian dan keberkesanannya secara berulang kali. Dalam merealisasikan idea ini, penyelidik memilih penggunaan bahan plastik berasaskan bio, iaitu Polylactic Acid (PLA) yang dihasilkan daripada sumber organik seperti jagung dan tebu. Bahan ini bersifat mesra alam, boleh dikitar semula, dan sesuai digunakan bersama teknologi pencetak 3D. Proses penghasilan perangkap lalat dilakukan melalui kaedah replikasi 3D printing berpandukan lukisan CAD yang direka bentuk terlebih dahulu. Rekaan bekas perangkap dibuat dalam bentuk tertutup, tidak lut cahaya, serta mempunyai mekanisme yang membolehkan ia dibuka untuk tujuan pembersihan dan digunakan semula. Ciri ini membolehkan alat digunakan secara berterusan tanpa menjejaskan keselesaan pengguna semasa makan. Dari segi sumber tenaga, alat ini menggunakan tenaga solar sebagai kuasa utama, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber elektrik konvensional serta menjadikannya lebih mesra alam dan ekonomik. Hasil ujian mendapati perangkap lalat yang direka mampu berfungsi dengan baik dalam memerangkap lalat serta mengurangkan gangguan dengan lebih berkesan berbanding kaedah komersial yang lazim digunakan oleh peniaga makanan. Kesimpulannya, projek ini berjaya menghasilkan satu inovasi alat perangkap lalat mudah alih berkuasa solar yang praktikal, mesra pengguna, dan mempunyai keberkesanan tinggi dalam mengatasi masalah gangguan lalat. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pelanggan di warung makanan, malah berpotensi untuk diaplikasikan secara meluas bagi meningkatkan tahap kebersihan persekitaran.
Kata kunci : Perangkap lalat mudah alih, tenaga solar, additive manufacturing, PLA filament
Downloads
Published
Issue
Section
License
Unit Penyelidikan, Inovasi dan Komersialan
POLIMAS