Kajian Pembangunan dan Keberkesanan Aplikasi eHousing Inventory Di kalangan Pelajar Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah

Authors

  • Ts. Izza Shafini Binti Zainal Abidin
  • Nurul Izza Binti Mahadan
  • Noorhaneza Binti Ariffin

Abstract

Dalam era digitalisasi, keperluan teknologi aplikasi pintar dilihat secara meluas penggunaanya dalam perkembangan proses pembelajaran dan pengajaran sesuatu kursus seperti bidang perancangan bandar dan wilayah.  Terdapat kelemahan dalam kaedah konvensional yang digunapakai oleh pelajar sebelum ini untuk mencatat data kajian di tapak. Antaranya ialah masalah penggunaan borang manual dari segi kehilangan data, pembaziran kos percetakan dan keselamatan data. Bagi mengatasi masalah tersebut, seiring dengan penambahbaikan kualiti berterusan atau Common Quality Improvement (CQI) yang dilaksanakan dalam setiap kursus akademik di Politeknik, pembangunan aplikasi pintar seperti aplikasi e-Housing Inventory ini adalah sangat digalakkan dan relevan dalam memastikan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Objektif kajian ini memfokuskan kepada pembangunan aplikasi e-Housing Inventory yang membolehkan pelajar mencerap data kajian di tapak secara atas talian bagi kursus Planning Studio 1 dan melaksanakan penilaian pelajar terhadap kandungan aplikasi e-Housing Inventory. Kaedah pembangunan aplikasi mengambil pendekatan model ADDIE yang menjadi asas kepada pembinaan perisian dan seterusnya penilaian pelajar terbahagi kepada tiga bahagian iaitu penilaian pengguna terhadap antara muka aplikasi, kebolehgunaan aplikasi dan keberkesanan penggunaan aplikasi. Penyelidikan ini dilaksanakan menggunakan pendekatan kuantitatif dengan sampel kajian sebanyak 49 orang yang terdiri daripada pelajar semester dua Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah iaitu kelas DPW2A dan DPW2B bagi sesi II: 2024/2025 yang menggunakan aplikasi ini dalam melaksanakan kajian tapak bagi kursus DCP10255 Planning Studio 1 pada sesi lepas. Dapatan kajian mendapati bahawa secara keseluruhannya penggunaan aplikasi pintar e-Housing Inventory dapat menyumbang kepada penambahbaikan kursus dan memberi manfaat kepada pendedahan penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran dan pengajaran. Di samping itu, aplikasi pintar ini juga turut  memberi manfaat besar terhadap pengurusan maklumat yang cekap, hasil pembelajaran yang lebih baik serta mengurangkan impak alam sekitar.

 

Kata Kunci: aplikasi pintar, penambahbaikan, pembelajaran dan pengajaran PDP

Downloads

Published

2025-04-07

Issue

Section

Engineering (Civil, Electrical,Mechanical)