Meningkatkan Kemahiran Menulis Abstrak Laporan Projek Akhir Menerusi Teknik Pencontoh "My Abstrax”

Authors

  • Mohd Fathurrahman Bin Kamarudin
  • Nor Mahani Binti Md Rasidi
  • Syukrul Hassani Bin Jamaludin

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk menghasilkan kemahiran penulisan abstrak laporan projek akhir melalui teknik “MyAbstrax” dalam kalangan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah,Kedah (POLIMAS). Tinjauan awal telah dilakukan dengan kaedah menganalisis markah item abstrak dalam rubrik pra-pemarkahan laporan projek akhir, temubual bersama pelajar dan pemerhatian terhadap penulisan abstrak laporan projek akhir. Analisis pra- pemarkahan laporan projek akhir mendapati lebih 60% pelajar mendapat skor rubrik di bawah skala 3 daripada markah maksima 5. Berdasarkan temubual, kebanyakan pelajar memahami maksud abstrak tetapi tidak mengetahui intipati kandungan yang perlu ditulis. Melalui pemerhatian pula, cara penulisan abstrak laporan projek akhir adalah tidak memuaskan kerana tiada elemen penting bagi mencapai kualiti penulisan kajian akademik. Intervensi yang dijalankan adalah teknik pencontoh “MyAbstrax”. Aktiviti intervensi memfokuskan kepada kemahiran penggunaan pencontoh khas untuk mengenalpasti enam elemen utama kandungan penulisan abstrak iaitu pengenalan, pernyataan masalah, objektif, metodologi, dapatan dan impak kajian. Setiap aktiviti memerlukan pelajar mengenalpasti intipati penting pada setiap bab kajian dilakukan. Perbandingan keputusan  markah item abstrak sebelum aktiviti dan selepas aktiviti dijalankan amat memberansangkan. Perbezaan skor antara pra penilaian dan pasca penilaian membuktikan tahap penguasaan pelajar  dalam penulisan abstrak laporan projek akhir. Pelajar telah berjaya menghasilkan penulisan abstrak     laporan projek akhir yang merangkumi enam elemen utama. Ini menunjukkan tindakan intervensi yang diambil dalam kajian tindakan ini adalah tepat dan berkesan. Walaupun pelbagai halangan dihadapi sepanjang melaksanakan kajian ini, pengkaji berpuas hati dan teruja dengan perubahan sikap positif pelajar terhadap usaha menghasilkan penulisan abstrak yang baik. Oleh itu, pengkaji mendapati para pelajar memerlukan pendekatan berbentuk pencontoh berstruktur dalam meningkatkan kemahiran penulisan ilmiah yang berkualiti dan menepati keperluan penilaian akademik pada tahap tinggi.

Kata kunci: penulisan abstrak, elemen, MyAbstrax, pencontoh, berstruktur

Downloads

Published

2021-10-02

Issue

Section

Teaching and Learning