Aplikasi Teknik 3-Minos Dalam Meningkatkan Kefahaman Pelajar Ses Bagi Topik Struktur Sel Dan Fungsinya

Authors

  • Norhamidah Hussain

Abstract

Kajian ini dijalankan untuk meningkatkan kefahaman pelajar bagi Topik Struktur Sel dan Fungsinya ke atas pelajar Sistem Empat Semester (SES) yang mengambil subjek Biologi. Model Bridget Somekh (1989) digunakan sebagai model asas kajian ini dan dijalankan di dalam satu kitaran sahaja. Bagi mengenalpasti masalah pembelajaran, satu tinjauan awal telah dijalankan melalui pemerhatian di dalam kelas, semakan lembaran kerja, temubual secara terbuka dan Ujian Diagnostik. Tinjauan ini dijalankan untuk melihat bagaimana pelajar dapat mengenalpasti dan memahami organel-organel yang terlibat di dalam topik yang dikaji. Dapatan tinjauan awal menunjukkan pelajar sukar mengenalpasti ciri-ciri dan fungsi sesetengah organel dengan baik. Mereka tidak dapat memberikan jawapan secara tepat di dalam soalan tutorial. Oleh itu, perancangan kajian tindakan ini telah memberi tumpuan kepada cara untuk meningkatkan kefahaman dan daya ingatan pelajar melalui Teknik 3-MINOS. Melalui teknik ini, pelajar akan menghasilkan suatu info grafik atau ringkasan maklumat tentang ciri-ciri dan fungsi organel yang dipilih di dalam satu slaid power point dan membuat pembentangan melalui video yang berdurasi kurang daripada tiga minit. Kajian ini mengambil masa selama empat minggu untuk dilaksanakan. Keputusan Ujian Pra dan Ujian Pos telah menunjukkan terdapat peningkatan yang ketara di dalam mengingat dan memahami ciri-ciri dan fungsi organel. Oleh yang demikian, Teknik 3-MINOS ini diharapkan dapat membantu pelajar untuk meningkatkan daya ingatan serta kefahaman mereka di dalam topik yang dikaji.

 

 

Kata kunci: Teknik 3-MINOS, Kefahaman dan Daya Ingatan, Topik Struktur Sel dan Fungsinya, Info Grafik, Pembentangan Video.

Downloads

Published

2021-10-02

Issue

Section

Teaching and Learning