Keberkesanan 3-D Molecular Visualization Augmented Reality (V-Max) Terhadap Pencapaian dan Kemahiran Visualisasi Pelajar dalam Topik Ikatan Kimia

Authors

  • Kherul Jefri Jamen
  • Nor Syatilla Haerany Abd Ghani
  • Siti Zahirah Nordin
  • Ilyana Mohammad Kamel

Abstract

Kajian ini bertujuan untuk membantu pelajar meningkatkan visualisasi topik ikatan kimia menerusi penggunaan teknologi digital dalam permainan 3-D Molecular Visualization Augmented Reality (V-MAX). Peserta kajian terdiri daripada 20 orang pelajar Sistem Empat Semester (SES) Kolej Matrikulasi Kedah yang berpencapaian rendah dalam topik ikatan kimia. Sebelum kajian dilaksanakan, satu kajian analisis keperluan telah dijalankan untuk mendapatkan pandangan pelajar dan pensyarah mengenai kesukaran topik ikatan kimia. Respon pelajar menunjukkan mereka cenderung untuk belajar sambil bermain untuk belajar topik yang abstrak seperti subjek kimia. Bagi mengatasi masalah tersebut, penggunaan permainan V-MAX yang menggunakan kaedah Pembelajaran Berasaskan Permainan (PBP) telah digunakan di dalam Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc). Kajian ini adalah kajian tindakan Kemmis dan McTaggarts dua kitaran berbentuk kuantitatif. Instrumen yang digunakan adalah set soalan Pra Ujian dan Pasca Ujian, soalan tugasan Ikatan Kimia dan soal selidik maklum balas pelajar. Analisis data kuantitatif adalah deskriptif berbentuk min dan peratus.  Perbandingan peratusan markah ujian pada kitaran satu  dan kitaran dua telah dilakukan dalam bentuk julat dan carta palang. Dapatan kajian pada kitaran dua menunjukkan lonjakan drastik dengan peningkatan markah bagi semua pelajar. Hasil tugasan topik ikatan kimia menunjukkan kesemua pelajar berada dalam tahap cemerlang. Soal selidik maklum balas pelajar juga menunjukkan min tertinggi bagi item peningkatan markah dan visualisasi dalam topik ikatan kimia. Penggunaan V-MAX dapat dijadikan media sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran dan perlu diperluaskan lagi penggunaannya kepada semua pensyarah dan pelajar agar dapat meningkatkan kemahiran visualisasi dan seterusnya melonjakkan pencapaian pelajar di dalam subjek kimia.

 

Kata kunci: Visualisasi, Ikatan Kimia, Augmented Reality, Pembelajaran Berasaskan Permainan, Tiga dimensi

Downloads

Published

2021-10-02

Issue

Section

Teaching and Learning