Kajian Kes Mengenai Kadar Penerimaan Pelajar Terhadap Kokurikulum Berkredit Badan Beruniform di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah

Authors

  • Jasni Bin Mohd Noor
  • Jamilah Binti Abbas
  • Mohammad Fahmy Bin Ibrahim

Abstract

Kokurikulum berkredit merupakan salah satu kokurikulum yang wajib diambil oleh semua pelajar politeknik bagi melayakkan seseorang pelajar itu dianugerahkan diploma politeknik. Kokurikulum berkredit ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu kokurikulum berkredit Badan Beruniform dan kokurikulum berkredit Sukan, Kelab dan Persatuan. Senario yang berlaku di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) adalah, kokurikulum berkredit Badan Beruniform ini tidak menjadi pilihan utama pelajar semasa pemilihan kokurikulum. Kajian ini dilakukan bagi mengetahui tahap penerimaan pelajar terhadap kokurikulum berkredit Badan Beruniform berbanding dengan kokurikulum berkredit Sukan dan kokurikulum berkredit Kelab dan Persatuan. Kajian ini juga dilakukan bagi mengenalpasti bilangan pelajar yang berjaya menamatkan kokurikulum berkredit Badan Beruniform sehingga ke tahap pentauliahan. Kajian telah dijalankan terhadap pelajar PSA bermula dari semester satu sesi Jun 2015 sehingga pelajar tersebut menamatkan kursus kokurikulum berkredit Badan Beruniform dengan ditauliahkan pada sesi Jun 2018. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa kokurikulum berkredit Badan Beruniform tidak menjadi pilihan utama berbanding dengan kokurikulum berkredit yang lain kerana bilangan pelajar yang memilih nya adalah rendah. Peratusan pelajar yang berjaya menamatkan kursus kokurikulum berkredit Badan Beruniform juga menunjukkan penurunan berbanding dengan data pelajar yang mendaftar pada semester satu. Hasil dari dapatan kajian ini dapat membantu pihak Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti merangka strategi bagi meningkatkan bilangan keahlian kokurikulum berkredit Badan Beruniform serta menarik minat pelajar politeknik menyertai kokurikulum berkredit tersebut. Silibus kokurikulum berkredit Badan Beruniform juga perlu ditambah baik dengan menerapkan elemen yang menjadi kegemaran remaja masa kini.

Kata kunci: kokurikulum, berkredit, pelajar

Downloads

Published

2019-12-14

Issue

Section

Sports and Co-curriculum