FAKTOR YANG MENDORONG TEKANAN KERJA DI KALANGAN PEKERJA SOKONGAN DI PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Authors

  • Rosidah Binti Ramli

Abstract

Kajian ini adalah bertujuan untuk melihat faktor yang mendorong tekanan kerja di kalangan pekerja sokongan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Kajian dijalankan adalah untuk menilai hubungan di antara faktor tekanan kerja dengan jawatan, status perkahwinan, tempoh perkhidmatan dan faktor tekanan kerja tertinggi bagi setiap jawatan. Alat kajian yang digunakan adalah inventori stres peribadi (O’Donnel & Ainsworth 1984) yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian kajian serta mengandungi borang soal selidik penilaian 2 dan borang soal selidik penilaian 3. Seramai 67 orang pekerja telah dipilih sebagai responden yang terdiri daripada jururawat terlatih, juruteknologi makmal perubatan dan penolong pengawai tadbir serta pembantu tadbir. Data yang diperolehi dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif (min, kekerapan dan peratus) dan statistik inferensi (ujian khai kuasa dua, ujian-t, dan ANOVA). Dapatan kajian yang diperolehi menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan di antara tekanan kerja keseluruhan dengan jawatan, di mana juruteknologi makmal perubatan menunjukkan tahap tekanan tertinggi, diikuti penolong pegawai tadbir atau pembantu tadbir dan yang terendah adalah di kalangan jururawat terlatih. Hubungan yang signifikan juga dapat dilihat melalui faktor keterukan beban kerja dengan status perkahwinan, di mana pekerja yang berstatus berkahwin mencatat peratusan tertinggi berbanding pekerja berstatus bujang. Selain daripada itu dapatan kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan terhadap faktor keterukan tekanan keseluruhan dengan tempoh perkhidmatan pekerja sokongan PPUKM, di mana pekerja sokongan PPUKM yang berkhidmat selama 10 tahun dan ke atas mencatat peratusan tertinggi diikuti dengan pekerja PPUKM yang berkhidmat di antara 6 hingga 10 tahun, manakala pekerja sokongan PPUKM yang bekerja kurang daripada 5 tahun mencatat keputusan peratusan terendah. Hasil kajian mendapati faktor tekanan kerja bagi juruteknologi makmal perubatan menunjukkan faktor pertambahan tugas meningkat tanggungjawab merupakan faktor tekanan kerja utama manakala jururawat terlatih menunjukkan faktor tekanan kerja utama adalah membuat tugas di luar bidang dan bagi pembantu tadbir atau pembantu tadbir pula gaji yang tidak mencukupi menunjukkan faktor tekanan kerja utama.

Downloads

Published

2016-05-10

Issue

Section

Social Science (Finance, Management, Accounting, Business, Humanities)